Tips Menangani Karenah Klien

PENING LAYAN KLIEN ANDA?

Seseorang usahawan itu sering menghadapi pelbagai jenis klien (bergantung pada jenis bisnes) dan setiap klien itu ada karenahnya yang tersendiri. Dan seringkali, sektor perkhidmatan lah yang paling banyak cabarannya.

Kali ini berdasarkan pengalaman seorang sahabat. Seorang ‘designer’. Menurutnya, bisnes ini kadangkala agak stress kerana ada klien yang tak berpuashati walaupun dah dipersembahkan dengan berpuluh konsep dan idea design. Mungkin kalau diberi sepuluh idea lagi pun, mereka pasti akan mahukan yang lain, sesuatu yang berbeza dan lebih kreatif. Inilah asam garam dalam bidang design. Mungkin puncanya, kita gagal mengenalpasti keperluan dan kehendak klien ataupun mereka yang kurang memahami hasil kita. Ada tak antara anda yang pernah merasai pengalaman ini?

Bagaimana nak menangani masalah seperti ini? Bagaimana nak handle klien dengan baik tanpa hilang temper dan cuba ‘memaksa secara halus’ untuk mereka menerima design kita. Ya lah, hasil seni kan subjektif!

Di sini saya nak kongsikan 5 tips yang mungkin boleh digunapakai.

1.  Intip Mereka.

Untuk menyiapkan design yang memuaskan hati mereka, anda pertu tahu apa yang mereka suka. Mungkin anda ‘spy’ laman FB mereka, kedai atau produk mereka. Mungkin ada idea dari situ. Jika anda rasa mereka kurang bersetuju dengan idea anda, minta mereka tunjukkan contoh design yang mereka suka. Mungkin dari segi warna, penampilan, style, tekstur atau apa saja yang menarik minat mereka. Mungkin ianya biasa saja bagi anda namun mungkin ianya istimewa bagi mereka.

2.  Ceritakan Kepada Mereka Pengalaman Anda.

Mungkin klien tersebut hanya mahukan hasil dan kualiti yang terbaik. Anda perlu buat mereka sedari bahawa anda pakar dalam bidang ini dan tak akan kecewakan mereka. Mulakan dengan berkongsi pengalaman kerja anda dan testimoni klien yang terdahulu. Bina satu portfolio yang ‘mengiurkan’. Buat mereka merasa pasti bahawa mereka berada di tempat yang betul. Buat mereka yakin kapabiliti dan kredibiliti yang anda miliki.

3.  Mulakan Semula.

Bila klien berkata tidak kepada idea anda, mulakan semula. Kali ini libatkan mereka dalam setiap proses. Bermula dari brainstorm idea, proses merekabentuk hinggalah hasil terbentuk. Bincangkan segala butiran dengan mereka sehinggakan hasil akhir itu nampak bukan seperti hanya idea anda tetapi hasil usaha bersama mereka. Salah satu cara bermain dengan psikologi mereka adalah dengan berkata ‘inilah idea kita’.

4.  Jawab Segala Persoalan Mereka.

Anda seorang pakar design yang pro dan anda perlu tonjolkan kepakaran anda itu. Menurut Dr Azizan Osman, untuk tampil sebagai pakar anda perlu kuasai bisnes anda (master your business). Terangkan kepada mereka mengapa sebenarnya anda memilih sesuatu design itu dan bagaimana ia akan membantu klien. Tunjukkan hasil anda untuk produk/klien lain yang seakan sama (jika ada). Tugas anda, pastikan klien yakin dan percaya dengan kerja anda berbanding dengan designer lain yang telah mereka survey!

5.  Ucapkan Selamat Tinggal.

Anda dah cuba pelbagai cara dan kata sepakat masih tidak dapat dicapai. Masa untuk berkata ‘NEXT’. Izinkan klien itu mencari designer impian mereka yang lain. Sebagai seorang designer anda tentu tahu kerja anda memakan masa dan tenaga. Jangan bazirkan hanya untuk seorang klien yang cerewet. Secara hormat, ucapkan selamat tinggal kepada mereka. Minta maaf kerana tak dapat memenuhi keperluan mereka, itu lebih baik.

Sebagai seorang designer yang bagus, anda perlu ada kemahiran menangani pelbagai jenis klien dalam pelbagai jenis keadaan. Kuncinya adalah bersabar dan cuba fahami apa sebenarnya yang klien kehendaki dan cuba sebaik mungkin memenuhinya. Sabar itu separuh dari iman kan.


About the author

Dinor Sabudin

Dinor Sabudin merupakan seorang usahawan makan gaji. Berasal dari Taiping Perak. Kerja Gomen di KL. -- Meminati bahan bacaan, internet dan sukan basikal. -- Seorang penulis, pengamal copywriting dan pengiklan FB Ads. -- Realitinya: Seorang anak, suami dan bapa.

1 comment
Click here to add a comment